Monday, February 26, 2018

menjadi perempuan kepada seorang lelaki I


Menjadi perempuan itu kasihan. Kata mereka, perempuan harus ikhlas. Ya mungkin, memang perempuan itu lahir untuk mengikhlaskan hati mereka disakiti. Kata mereka, perempuan tamak kerana tak mahu berkongsi. Ya mungkin, lelaki-lelaki itu tidak tamak walaupun menginginkan lebih lagi. Ikhlaskanlah tuduhan-tuduhan itu, seandainya kau seorang perempuan, akan dicantas segala suara jiwamu, sehingga engkau cacat dan bisu.

Selemah itukah perempuan?
Yang bisa kau tampar terajang atau kau pujuk rayu dengan tunggangan agamamu?

Ketakutan aku sejak sekian lama, adalah menjadi perempuan kepada seorang lelaki. Kerana yang aku lihat di hadapan mata, hanya derita. Hanya air mata darah, hanya dibuang, hanya ketua-ketua yang gagal bertindak rasional. Gagal bertindak dengan adab dan hikmah.

Yang paling kejam sekali, kau tidak tahu berapa manusia yang kehidupannya telah kau hancurkan. Pengkhianatan itu, tidak terkesan kepada seorang sahaja, bahkan seluruh keluarga. Luka itu, seumur hidup lamanya pun mungkin tidak akan sembuh, hasil tindakan kau yang mementingkan dirimu sendiri.

Ya, aku marah. Aku sangat marah, dan engkau wahai sekalian dunia, takkan faham mengapa.
Jangan cuba kau katakan pada aku tentang kemaafan, aku hampir membunuh diriku kerana tidak berjaya memberikannya pada seorang ayah yang sangat aku cinta. Aku tahu takdir, aku tahu ketentuan. Namun apakah kezaliman ini memang perempuan kerjanya hanya meredhakan?

Perempuan.

Menjadi perempuan, adalah menjadi rahmah, atau menjadi fitnah.

Rahmahlah engkau, memilih menjadi perempuan yang solehah.
Fitnahlah engkau, seandai kau memilih jalan yang tidak bermaruah.

Engkau tiada di tempat ini. Engkau sebahagian para lelaki sibuk berbual lucah dan 'hubungan seksual adalah fitrah keperluanmu' kekal menjadi hujah, kau balut kemas dengan alasan sunnah. Ironinya, mata engkau tiba-tiba buta dan telinga engkau tiba-tiba pekak apabila ditanya soal nafkah yang belum sempurna. Tiba-tiba engkau bisu bila ditanya Al-Quran sudah juzuk berapa.

Atau perlukah aku menulis, tentang menjadi lelaki kepada seorang perempuan?

Tidakkah engkau berakal?


02:05
260217
Sepang, Selangor.




Thursday, February 8, 2018

dua ribu lapan belas

Hai kanvasku, tempat aku menconteng segala pilu, sesak, hiba, kesah. Juga hari sukaku, hariku belajar tentang kehidupan. Hariku belajar menghargai dan mensyukuri nikmat Tuhan. Tempat aku bercambah menjadi gadis yang matang, seawal usiaku empat belas tahun sehinggalah kini aku bakal menginjak dua puluh tiga tahun.

Aku tak pernah melupakan engkau. Takkan pernah. Walaupun hidupku ini seakan membentangkan satu macam kanvas baru buatku, yang memadam segala kesedihanku, memberikan aku harapan melalui dia yang datang mengetuk hati ini dengan kesungguhannya, aku kira sebuah lagi hadiah dari Tuhan.

Kanvasku, kelak akan ada watak-watak baru yang aku bakal coret dan tambahkan di atasmu. Kehidupanku kini telah berubah. Aku masih merasakan semua ini ibarat mimpi. Banyak yang di awangan, tidak sempat aku coretkan selama hampir setengah tahun aku meninggalkan engkau dalam debu.

Kelak engkau akan menghiasi hari tuaku. Mengingatkan aku pada cinta-cinta yang pernah mengisi hari mudaku, dan kuharap masih di sisi sampailah aku sudah tidak berdaya untuk berjalan lagi. Mengingatkan aku pada cinta-cinta yang singgah dan berumah di hatiku selamanya.

Terima kasih Tuhan, untuk kanvas kehidupan ini.

080218
12.35AM
Mahallah Maryam,
IIUM Gombak.
Hidup ini adalah keyakinan dan PERJUANGAN.. dan PERJUANGAN mukmin yg sejati tidak akan berhenti kecuali kedua tapak kakinya, TELAH MENGINJAK KE PINTU SYURGA...

-Imam Ahmad ibn Hanbal-