Thursday, August 21, 2014

seperti apakah redha itu

Bismillahirrahmanirrahim


Aku buka conversation dengan kau lalu butang voice note aku tekan lama.. mengalunkan sebuah lagu pitching rendah dengan suara yang tak seberapa merdu ini. Berharap ia mampu didengar sebagai suara yang dilontarkan nun jauh dari dasar hati.


Kesekian kali kini ku berdiri
Tulus hati dihadapanmu..
Masih terus merayu dengarkan aku
Jalan yang berliku sepanjang hayatmu
Aku juga merasainya 
Lantas aku mengerti dan memahami..

Lihatlah kedalam hatimu 
Percikan cahaya yang akan membara 
Menjadi penerang segala yang di depanmu

Lihatlah jua ke hatiku
Aku lah temanmu terimalah aku
Kita kan bersama mengharung dunia fana ini



Mengimbau Ahad yang lalu semasa aku cuti kelas driving. Seperti yang dijanjikan, aku ambil peluang bermusafir sesingkat 4 ke 5 jam dengan bidadari tersayang ke INTEC bertemu dengan bidadari-bidadari lainnya yang juga kesayangan hamba. Teman yang sama-sama dibuat meniti pahit maung alam persekolahan dahulu. Ah. Memoir semalam itu. Sesak difikirkan keindahan silam yang takkan mampu aku ulang kembali detiknya.




Mungkin kau tak perasan bila kita dapat tempat duduk agak terpisah dalam KTM waktu perjalanan pergi, mata aku tak lepas dari perhatikan kau. Sebab aku tak tahu bila lagi boleh tengok wajah kau puas-puas. Wajah seorang gadis yang tabah dan cekal. Walau wajah itu kau hijabkan dari pandangan manusia disebalik sehelai kain kecil berwarna cream, menampakkan hanya sepasang mata kamu yang tak meliar pandangannya. Kain kecil itu kau bilang kain ninja sewaktu kita sering bergurau senda. Mungkin kau tak perasan begitu lama aku curi tatap wajah kau sehingga aku sedar mata ini mula menakung sekolam air masin. Aku dongakkan kepala sambil ku kedip-kedip mata, biarkan kolam air itu kering sendiri. Berat rasa hati ini memikirkan segalanya. Berat rasa di jiwa ini, satu beban yang tak tergambar dek kata-kata. Beban kekotoran hati ini malah beban kedewasaan yang sering menghantui. Keretapi lama yang kita naiki itu kemudian berhenti di sebuah stesen sebelum sampai ke KL Sentral menyedarkan aku dari lamunan.

Dalam perjalanan pulang juga kita tak banyak berbual. Aku jadi banyak diam. Terlalu banyak yang ingin dicerita, diadukan, tapi tak mampu aku luah dalam waktu sesingkat itu. Tapi kita pegang erat tangan kita. Aku sandar kepala ke bahu kau. Tenang. Demam dan selsema yang belum sembuh sepenuhnya buat suara aku jadi agak sengau dan serak. Sesekali aku batuk-batuk kerana tekak yang terasa gatal. Kau cuma menggenggam tangan aku dengan lebih kuat. Mungkin kau tak tahu apa harus kau lakukan. Aku pejam mata, mengingati perbualan kita semalam.


"Boleh tolong aku tak.."

"Apa dia? :) "

"Aku nak kuat macam kau. Aku nak solehah macam kau,"

"Ye kau ada aku. Lepas ni kalau tak okay cakap je tau! Tak payah tunggu aku online pun takpe. Kita kan nak jadi solehah sama-sama :') Kau dah dengar cerita aku semuanya sedih gelak nangis semua. It's time for me to be your listener pulak,"

"Janji ea?"

"Janji sayang,"


Dan bila dah sampai stesen komuter Serdang semula, kakak sudah tiba untuk menjemput pulang ke rumah. Di situ kita berpisah buat kesekian kalinya. Sepulangnya ke rumah aku tetap suka berdiam. Penat berjalan mungkin. Penat juga berfikir. Sesekali aku capai tisu dan hembuskan keluar cecair yang asyik menitis keluar dari rongga hidung ini. Kemudian termenung jauh. Terlalu sebentar pertemuan itu. Sebuah rindu yang masih tak terbebas, buat aku sehingga mimpi kamu malam-malam. Lalu aku menyesal aku lupa melakukan satu perkara yang dah terlalu lama aku rindu untuk melakukannya. Menangis dalam dakapan kau. Ya, menangis untuk aku keluarkan segalanya. Kerana luka dalam hati minta dirawat dengan dakapan penuh kekuatan dari seorang sahabat. Ya Allah.. Mungkin setahun lagi baru dua jasad ini akan bertemu lagi dek kekangan waktu dan kekangan benua yang sering memisahkan kita..

Payah sungguh. Payah sungguh menjadi bintang syurga. Payah sungguh menjaga hati. Payah sungguh menjaga diri. Payah sungguh bersabar. Payah sungguh redha itu.

Redha, senang disebut. Tetapi kadang-kadang terfikir, seperti apakah rasa redha itu.

Sepatutnya aku akan menangis pagi esoknya. Tapi entah kenapa tiada setitis air mata pun yang mengalir. Malah tiada kolam air masin yang terbentuk walaupun sedikit. Sebelum mahupun selepas aku dikhabarkan tentang penundaan itu. Dari beberapa hari yang lalu sehingga hari sepatutnya ia berlaku, aku cuma selesa berdiam. Kadang-kadang termenung kosong. Berlagak biasa bila berbual dengan kawan-kawan di Whatsapp. Berurusan kerja dengan ketua juga seperti biasa.

Apa agaknya rasa ini? Sudah kuatkan aku? Aku khawatir ini bukan kuat tapi cuma lelah. Ataukah sebuah kekuatan itu memang tiba saat kita sudah lelah dengan segalanya? Saat nafsu liar yang memberontak ini akhirnya mengalah pada takdir yang berlegar-legar untuk diaturkan segalanya mengikut kehendak Dia. Aku juga tidak tahu.



Memangnya.. seperti apakah redha itu ? ..




Wassalam.
Musirrah.


No comments:

Hidup ini adalah keyakinan dan PERJUANGAN.. dan PERJUANGAN mukmin yg sejati tidak akan berhenti kecuali kedua tapak kakinya, TELAH MENGINJAK KE PINTU SYURGA...

-Imam Ahmad ibn Hanbal-