Sudah sebulan rupanya aku menempuhi semester akhir pengajianku di Jordan ini. Cepat sangat masa berlalu. Masih aku ingat lagi minggu pertama yang sangat bersemangat. Aku sediakan hashtag untuk diri aku sendiri sejak hujung semester lepas; #jeddasifarghiab . Alhamdulillah setakat ini tak ada kelas yang aku ghiab, bahkan aku rasa ralat kalau aku cuba berkira-kira dan membuat alasan untuk tidak ke kelas. Aku tak lagi membenarkan kesalahanku sendiri, tak lagi memenangkan alasanku. Setakat ini aku belum ghiab kelas ijbari, tapi ada dua ghiab kelas techno, satu ghiab kelas fannu, satu ghiab kelas huquq insan, kerana aku sakit tempoh hari. Hashtag kedua aku adalah #jeddatakmainfondalamkelas haha. Dan setakat ini alhamdulillah aku tak main phone dalam kelas. Great improvement, jed.
Minggu pertama semester haritu juga aku sibuk ke hulu ke hilir menyelesaikan urusan markah subjek Tarbiah Watoniah aku yang bermasalah sejak semester lepas. Dari Qabul Tasjil ke Kuliah Adab, bilik dukturah, bilik dekan, setiausaha dekan, bilik duktur. Akhirnya aku dikehendaki menduduki peperiksaan akhir subjek itu sekali lagi. Dan alhamdulillah semuanya dah selamat sekarang, aku dah mendapat markah dan muaddal aku untuk semester lepas. Maka bermulalah aku fokus pada perjuangan akhir aku dengan tujuh subjek semester ini. Tarik nafas, lepas.
Liqo' Maadin dah selesai setelah kami bersama sejak Februari 2015 dahulu. Selepas ini kami masing-masing akan ada liqo' baru. Aku tak pasti akan berubah murabbi sahaja atau berganti ahli liqo sekali. Pasti perasaannya lain. Aku selalu berkeluh kesah dalam hal ini. Aku selalu tak dapat menerima kalau orang yang aku kenali itu menjadi murobbi aku. Tapi aku rasa telah tiba masanya aku membuka hati. Teringat aku temui tempoh hari yang aku tak pasti di mana, kata-kata seorang pakcik. Nanti akan terjadi suatu waktu, mutarabbi kita adalah ahli liqo' kita sendiri. Situasi itu akan berlaku di Malaysia. Jadi menurut aku, aku perlu membuat persediaan daripada sekarang, untuk keluar dari zon selesa.
Ya, zon selesa. Aku maklum bahawa aku adalah seorang yang sangat sukar melepaskan zon selesa aku. Selesa dengan duit yang masuk setiap bulan, selesa dengan suasana tarbiah yang sangat ideal, selesa punya akhowat-akhowat yang sangat memahami dan mencintai aku disisi. selesa dengan rutin yang bebas. Bebas tidur bila masa aku suka, bebas bergerak ke mana aku mahu, bebas berbelanja. Dan aku tahu semua ini sudah tidak akan ada lagi bila aku pulang ke Malaysia nanti. Pulang sebagai graduan, kembali berada di sisi keluarga, zon selesa takkan wujud lagi.
Maka percaturanku kini adalah, aku perlu mengubah rutinku mulai sekarang. Aku perlu berlatih dari sekarang. Aku perlu elakkan diri daripada bersenang-senang. Tambahan pula aku nak membawa ummi ke Mekkah. Kadang-kadang lemah juga semangat aku memikirkan belanja. Kerana Ummi tidak punya simpanan lagi. RM7K adalah jumlah yang terlalu besar bagi keluarga aku. Maka akulah yang perlu menggali tabungan aku untuk menampungnya. Tabungan aku yang di dalam Bank Islam itu pula tak dapat dipastikan lagi statusnya. Jadi aku tak tahu adakah lagi peluang untuk aku bawa Ummi bersamaku ke Mekkah. Yang pasti, aku nak menjadi seorang perempuan yang cakna akan kewangannya, cakna dengan mahal murah barang-barang yang dibeli. Kerana di Malaysia nanti akulah yang perlu bekerja keras untuk mengisi poket aku sendiri. Tidak ada lagi senang-lenang kemudian duit masuk setiap bulan. Tidak ada lagi boleh bangun tidur bila-bila aku suka, pergi mana aku suka.
Atas semua sebab di atas lah, walaupun asalnya aku langsung tidak suka berniaga dan mengira wang, aku keluar dari zon selesa aku dan mula berjualan kuih bakar. Lagipun aku dah lama menyimpan niat untuk jual kuih bakar, kerana ramai yang apabila merasa kuih bakar aku, mereka kata sedap dan galakkan aku jual. Alhamdulillah rezeki Tuhan. Perasaannya seronok juga bila merasa sedikit susah. Korbankan tidur untuk beli barang dan masak kuih, tausil ke rumah pelanggan tengah-tengah hujan musim sejuk, sehingga pulangnya aku selesema.
Agaknya beginilah ibu ayahku berbelas tahun dahulu ketika berjaja karipap, air, donut, kaset nasyid. Demi untuk mencari sesuap nasi buat kami empat beradik. Kakak dan abangku pernah merasa zaman ini. Bahkan sehingga kini aku lihat kedua kakakku bekerja sangat kuat dengan gaji mereka yang tak seberapa banyak pun. Cukup untuk membayar sewa rumah, api air, duit lauk. Televisyen pun sudah tidak ada di rumah kami lagi. Sepulangnya aku nanti, aku nak menjadi yang meringankan mereka. Aku nak menjadi yang bijak mengatur impian, agar dapat ku sumbang keselesaan untuk mereka.
Aku dah lama je berfikir tentang ini. tapi tak sedikit pun aku bergerak untuk melatih diriku ke arah itu. Sekarang aku kira adalah masanya. Sedikit sebanyak aku seronok dengan perubahan diriku ini dalam dan luar. Walaupun ia mungkin kecil dan picisan bagi orang lain, atau mungkin orang tak terperasan pun, aku sangat merasakan nilai tambah dalam diri. Dan semoga Allah juga menilai usahaku ini menjadi seorang muslim yang lebih baik terutama dari segi disiplinnya. Walaupun begitu, aku tahu masih terlalu banyak lagi bahagian dari diriku yang masih terpenjara dalam zon selesa. Sedikit demi sedikit akan kucuba menyahkan kuncinya. Pelajaran, keluarga, masyarakat.
Semester akhir pengajian ini, ramai yang punya azam masing-masing. Ada yang bertekad untuk aktif menyertai program persatuan, ada yang giat mengumpulkan wang, ada yang mahu pulun habis-habisan pelajarannya. Sekadar yang aku bualkan dengan ramai orang, itulah buah fikiran mereka. Kita sudah mahu pulang, dan ketakutan aku yang paling besar adalah andai aku yang pulang nanti tiadalah lebih baik pun daripada aku yang berangkat pergi dahulu. Aku kira itulah kegagalan paling besar dalam hidupku kalau ianya terjadi. Semoga Tuhanku melindungiku darinya.
"Perempuan yang begitu banyak impian seperti itulah. Dicubanya setapak-tapak.
Dibuatnya berani-berani. Dilagaknya seperti tidak tertakutkan langsung.
Tidaklah sesekali tujuannya meraih mata hati sekalian manusia,
tapi cukup untuk merangkul jiwanya sendiri, sampai hujung usia," -Musirrah
2:06PM
030317
Irbid
Jordan.
No comments:
Post a Comment