Saturday, February 18, 2017

Rumah Islam.

Bismillahirrahmanirrahim.


Rumah Islam adalah rumah yang ahlinya saling menguatkan untuk sama-sama memperbaiki amal.

Bila kau belum pulang dari luar dan ahli rumah menelefonmu, bertanya apakah kau akan solat di rumah? Kerana jika kau akan pulang solat, mereka mahu menunggu kau untuk solat berjema'ah. Agar sama-sama bisa mendapatkan 27 kali ganda pahala yang dijanjikan.

Seperti sahaja menunggu semua ahli rumah bersiap setiap kali waktu solat agar kita bisa mengangkat takbir bersama. Kebahagiaan itu bagi aku apabila bahu aku tertegak kemas disisi bahumu. Memberi salam pertama dan melihat kau juga melakukan yang serupa. Seperti saf muslimin di sisi nabi 1400 tahun yang lalu. Ah, ajaibnya.

Juga aku abadikan alunan maathurat dan bacaan Riyadhus Salihin pada waktu yang kita sepakati. Gelak terkekeh kita pada terjemahan indonesia kitab hadith yang kadang lucu, dan sejenak kemudian kita diam menghayati pelajarannya. Kalau ada yang kakak antara kita, pasti dilaungnya "Haa semua orang ikut ana baca matan ni !" Terkebil-kebil yang lain, yang mengantuk jadi bulat semula mata. Kemudian usai tasbih kaffarah kita bersalaman. "Minta maaf," kita ucapkan sesama kita. Kadang merengek. "Sejuknya tangan enti! Taknak salammm!". Senyum.

Rumah islam adalah rumah toleransi, kasih sayang dan cinta.

Bila seorang ukhti yang sangat pengemas, pantang sepah, mampu berlapang dada dengan saudaranya yang tak reti membahagi masa untuk mengemas.
Atau ukhti yang tidak suka barang-barang bukan kepunyaannya memenuhi ruang. Tapi dia berlapang dada apabila rumahnya penuh dengan barang-barang program dan aset jemaah, menjadi tempat pengumpulan.
Apabila ahli rumah tidak membasuh pinggan dan cawan dia berlapang dada melakukan semua itu untuk mereka.
Kalau menegur pun dia tidak menegur dengan angkuh, bahkan dengan hikmah seperti yang kita diajarkan. "Enti jangan lupa basuh pinggan tu ya!" "Enti sakit tangan ke? Nak ana tlg basuhkan?"
Dia berlapang dada bila tiada siapa yang tahu pun apa dia telah lakukan untuk ahli rumahnya, berapa banyak barang rumah sebenarnya dia telah infaq dengan wangnya sendiri.
Kerana dalam fikirannya, setiap orang lain pasti ada melakukan amal yang tidak dia ketahui atau sempat dia lihat kesannya juga.
Dalam fikirannya cuma ada keyakinan bahawa keikhlasan amal itu dijaga Tuhan, lantas Tuhan balasinya dengan kasih sayang, cinta dan kedamaian hati sesama akhowat ahli rumahnya.

Apabila akhowat dari teritori lain datang menginap di rumah mereka ukhti itu menerima tetamunya dengan kasih sayang dan lapang dada.. memberi mereka keutamaan tidur di bilik, sementara ukhti itu dan ahli rumah lain tidur di ruang tamu. Menjaga segenap kebajikan mereka sebagai tetamu yang dimuliakan.

Apabila ahli rumah semua sakit, setiap ukhti itu memberi keutamaan kepada ukhtinya yang lain dahulu. Seperti kisah tiga sahabat sewaktu ghazwah Badar al Kubra yang disuakan air, tetap sahaja mereka masing-masing mahu sahabatnya yang meneguk dahulu. Bukan dirinya. Bukan dirinya. Bukan dirinya. Tidak ada ruang dalam ukhuwwah untuk mementingkan diri dan memikirkan diri sendiri berbanding saudaranya yang lain. Bahkan apabila membaca artikel yang menyedarkan, pikirannya tertancap pada dirinya sendiri dahulu, bukan ahli rumahnya yang lain.

Ya mungkin acap kali kita akan terfikir tentang ahli rumah yang lain dahulu. 'Dia ni lah, tak pernah sekali pun aku lihat bawa sampah keluar'. Atau cuci bilik air. Atau sapu laman. Tapi ukhti itu tatkala pikirannya mula mengeluh tentang ahli rumahnya yang mungkin belum cukup kesedaran tentang amal jamaie, dia terus sahaja menitipkan doa untuk saudaranya itu. Agar hatinya tidak dipenuhi ketidakpuasan atau pertikaian, hanya doa yang bisa mendamaikan. Bukankah doa itu adalah kita berbual dengan Tuhan?

Rumah islam bukan milik mana-mana kelompok. Asal sahaja rumah itu disirami ukhuwah, ketidakpentingan diri, toleransi, kasih sayang, cinta dan lapang dada. Itulah rumah islam. Rumah islam adalah rumah yang mengalu-alukan kehadiran semua saudara muslimnya.

Inilah rumah islam bagi aku.

180217
1:21PM
Bayt Kahfi,
Irbid, Jordan.

1 comment:

Mimpi melur said...

Beautiful how you described it :')

Hidup ini adalah keyakinan dan PERJUANGAN.. dan PERJUANGAN mukmin yg sejati tidak akan berhenti kecuali kedua tapak kakinya, TELAH MENGINJAK KE PINTU SYURGA...

-Imam Ahmad ibn Hanbal-