Hari ini cuaca sangat mendamaikan. Tidak terlalu panas, tidak terlalu sejuk. Angin sepoi-sepoi bahasa yang kadang perlahan kadang kuat, meniup dan mengalunkan jubah berwarna turquoise dan trench coat berwarna hitam yang kupakai. Sehelai kain yang menutupi wajah turut sama beralun mengikut rentak angin. Aku berjalan sendirian menyusur laluan pejalan kaki. Dari Kuliah Adab, merentasi kawasan hadapan Kuliyyah Tarbiyyah, melalui Duwar Sa'ah yang menjadi titik tengah ataupun centre Universiti Yarmouk. Monumen Huruf 'Y' melambangkan 'Yarmouk' seperti yang terlakar di dalam logo jamiah, terbina gah di tengah-tengah duwar. Sesekali aku tutup mata untuk merasai ketenangan dari hembusan angin, kerana hari ini angin seperti angin pantai. Seperti pantai Kampung Anak Air, Kuantan, yang dahulu sering menjadi tempatku mencari ketenangan saat hati gundah. Yang sering ku pakir motosikal di bawah pohon-pohon rimbunnya, dan duduk di atas pangkin-pangkin tua milik orang-orang kampung. Sesekali berjalan tanpa kasut di pesisir pantainya, berjalan jauh, seakan tidak mahu berpatah semula. Ada waktu-waktu yang lain, aku duduk di tengah-tengah alam, berlunjur menghadap pantai, membiarkan baju kurungku terbasahkan oleh pepasir pantai yang lembab. Ah rindunya. Terlalu rindu aku pada pantai dan pepasirnya itu. Yang banyak menemukan aku dengan diriku sendiri, dan Penciptaku. Yang masin lautannya telah banyak bercampur dengan masin air mataku.
Aku buka mata. Kembali ke realiti. Semalam cuma tinggal mimpi.
Kesakitan semalam hanya tinggal mimpi. Cuma kadang kala bila dilihat semula parut yang berbekas, aku tersedar kembali bahawa semuanya adalah realiti. Yang telah berjaya aku redah kerana cintanya Tuhan pada aku.
Di hadapanku ada jalan yang panjang. Hakiki atau majazi, serupa bagiku. Tempat ini asing sekali. Tiada pantai, tiada bangunan tinggi, tiada kehijauan yang menyejukkan mata. Hanya debu yang berterbangan ditiup angin, yang boleh nampak beliungnya jelas depan mata. Gersang. Sesak. Tandus ciri madani.
Tapi di bumi tandus ini lah hati aku disirami sehingga basah. Di bumi kering inilah aku belajar membaja iman dan taqwa. Agar dapat aku tuai di akhirat sana dengan sebaik-baik hasil. Aku sudah cukup malu kepada Allah atas dosa-dosa silamku. Aku sering cemburu melihat manusia yang sikit pun tak pernah ada arang terconteng hodoh di kanvas sejarah hidupnya. Kadang berteleku sendiri di hadapan Tuhan, terasa sangat kotor dan hina. Aku kira memaafkan diri sendiri itu sangat sukar, walaupun mungkin Tuhan telah lama menebar luaskan maghfirahNya untukku seluas lautan yang kurindui. Semoga.
Jauh aku berjalan ditemani angin. Mungkin angin rindu dari orang-orang yang aku cinta di Malaysia. Kerana rasanya terlalu damai. Cukup untuk membawa mindaku terimbau segalanya tentang tanah tumpah darah yang hampir setengah tahun ditinggalkan.
Lagi pula aku baru pulang dari Annual Grand Meeting (AGM) PERMAI yang berlangsung hari ini. Menyaksikan pertukaran rasmi saf kepimpinan PERMAI sesi 15/16 kepada sesi 16/17. Melihat susuk-susuk tubuh yang hebat menaiki pentas menggalas amanah menjaga komuniti, aku terimbau memori berkerja di dalam PERMAIYA dahulu bersama rakan-rakan kepimpinan yang lain. Teringat detik-detik saf kepimpinan kami bertukar tampuk kepada adik-adik junior, semuanya terakam kemas dalam memoriku ini. Sedikit rindu mengetuk hati. Sekarang dah tak akan ada semua itu. Berada atas pentas, berada dalam meeting sebagai orang atas. Kerana tarbiyah menuntut segalanya bermula dari bawah. Bahkan jika sudah di atas pun, tetap takkan dikenali orang. Lantas ringan sahaja jiwa ini mendendangkan puisi buat hiburan hati sendiri.
Detik takkan kekal
Detik akan berlalu pergi
Seperti waktu-waktu dahulu berangkat meninggalkanmu
Seperti zaman kanak-kanak kini sudah dikubur batu
Seperti kebahagiaan keluarga yang hanya mimpi ilusi
Mungkin mimpi paling indah yang pernah Tuhan beri
Dan tarbiyah yang membina diri
Moga takkan terkubur mati
Seperti jahiliyyah yang telah kau campak buang jauh jauh
Semoga.
Ajarkan hatiku, Tuhan. Untuk ikhlas dalam amal
Dalam keadaan tidak dikenali manusia
Kerna kini aku memilih beramal di balik tirai
Medan ini takkan menjanjikan kalam penghargaan dari orang
Medan ini cuma ada kau dan Engkau
Medan bakti ini
Menuntut keikhlasan hatiku sendiri
Kerana hadafnya adalah menyentuh hati-hati manusia
Dengan sehabis keupayaan yang ku ada
Perpenat lelah lah duhai jiwa
Sibukkan dirimu mengejar pandangan Tuhan
Tak mengapa berbakti tanpa secara rasmi dikenali komuniti
Khidmat kau kini berfokus menyentuh hati-hati
Bukan sekadar menyentuh mata-mata
Dengan hasil multimedia yang kau cipta
Ini pilihan,
Membawa diri dan manusia mencari Tuhan
Menjaga tarbiyah juga ertinya menjaga komuniti
Mungkin takdirnya PERMAIYA itu tempat terakhir aku mencurah bakti,
Secara dikenali.
"Dia ok je? Ada buat emoji-emoji tak," tanyaku kepada seorang sahabat yang aku cinta. Rindu untuk berbual panjang seperti dulu. Sahabat yang juga sama-sama berada dalam saf kepimpinan PERMAIYA dahulu. Sahabat yang tak pernah lepas genggam tangan dalam jalan perjuangan. Dia kini berada sebagai pimpinan batch, diketuai syabab yang juga seorang ikhwah. Aku letak hashtag #littlethingsmatter dalam message ku. Saja. Sebab dia seorang yang sangat ambil berat perkara kecil-kecil.
"Kita orang ada emoji ni dengan ni je," balas dia menunjukkan emoji 'OK' dan 'Good'.
"Tapi dia ada 'haha'. Kau tahu, aku jihad gila taknak 'haha'. Err," balasnya lagi. Aku ketawa. Geli hati memikirkan kita juga berjihad dalam perkara yang sama.
"InsyaAllah, jihad tu Allah kira," balasku sambil tersenyum. Walaupun tetingkap Whatsapp itu tidak merakam senyuman rinduku untuknya. Aku tahu, aku tak perlu risaukan dia. Dari dulu, itulah dia. Itulah dia yang sering menjadi qudwah untukku. Bila aku tahu dia adalah akhowat, baru aku faham kenapa dia adalah dirinya. Kerana dia adalah seorang da'ie !
"Jadi perempuan cuma ada dua pilihan;
Menjadi sebaik-baik perhiasan, atau menjadi sebesar-besar fitnah,"
-Quoted-
Wassalam, Musirrah.
No comments:
Post a Comment