Assalamualaikum! It's nearly ten days since I burst out such mumblings in this canvas cehh sejak bila kesah sangat, selama ni ten months tak menulis tak kecoh pun. Seronok jugak dah dapat balik jiwa nak menulis ni. Biarlah. Aku mintak izin nak perasan matang sikit ye. Ahakhak.
Of Life & Keakhowatan.
# Ini Musim Sejuk Kami ! a.k.a It's Our Syita (IOS) 2016.
Jam menunjukkan pukul 6.40 petang. Sudah hampir satu jam setengah meeting penyelarasan berjalan. Zakiyah sebagai mas'ulah program masih lagi berada di hadapan, memperjelaskan setiap inci perjalanan program. Sesekali matanya melirik ke arah jam. Kadang-kadang mata aku ralit melihat seraut wajahnya sehingga hilang fokus kepada penerangannya. Wajah itu sangat mendamaikan. Bersih. Berkarisma. Matang. Walhal kami sebaya. Tapi punya perbezaan yang sangat ketara. Bagaimana seorang pelajar Medik Tahun 3 yang rata-rata mengetahui betapa berat beban pelajaran yang mereka pikul, namun dia boleh menjadi sekomited itu dalam dakwah dan tarbiyah ini? Pastinya Tuhan telah rezekikan dia keberkatan masa yang sangat ajaib!
Tak perlu bicara soal kewibawaan Saidatina Khadijah, kecerdasan Saidatina Aisyah, pengorbanan seorang Khaulah Al-Azwar, hati yang penuh kehambaan milik Rabi'ah Al-Adawiyah, ataupun kekuatan jiwa seorang sheikhah bernama Zainab Al-Ghazali. Tak perlu bicara itu. Jauh.
Aku, aku dengan seorang ukhti bernama Zakiyah di hadapanku itu sahaja sudah terlalu jauh.
Ku hela nafas berat. Panjangnya jalan ini. Kenapa belum sampai-sampai?
"Kita cuba habiskan tepat pukul 7 insyaAllah," ujar ukhti tadi, menerbangkan lamunanku pulang ke realiti. Lagi sepuluh minit menuju jam 7 malam. Sebentar lagi jam 7.30 ada daurah di mujamma'. Menuntut semua bergegas menyelesaikan taklifat masing-masing dalam meeting terakhir ini. Tersusun, kemas gerak kerja. Itu yang aku lihat dari mereka.
"Lagi satu, pasal yuran amilin," mas'ulah membuka perbincangan yuran. Semua tekun mendengar.
"Yuran amilin belum ditetapkan lagi tapi ia akan lebih mahal la daripada peserta. Peserta bayar 3 JD, kita mungkin akan bayar dalam 8 JD. Kalau macam tahun lepas, amilin bayar 13 JD, tapi tahun ni ana yakin insyaAllah yuran kita takkan lebih dari 10 JD, insyaAllah," ujarnya. Aku terpana sebentar.
Seketika kemudian, dalam hati, aku ketawa pada diriku sendiri.
'Aku ingatkan jadi amilin tak payah bayar apa-apa. Sekali kena bayar lebih. Hahaha. Tu la, murah gila mentaliti perjuangan kau, jedda,' tawaku sinis pada diri sendiri. Tidaklah merasa berat pun. Adapun aku rasa kelakar memikirkan betapa aku ini mengharapkan perjuangan yang mudah-mudah sahaja terbentang depan mata. Sikit pun tak terfikir untuk infaq lebih walaupun tahu defisit bajet untuk program nampak tidak boleh ditampung mengikut logik akal. Teruk juga common sense aku.
Masih banyak yang aku perlu pelajari. Tentang erti-erti sebuah pengertian itu sendiri.
"Ana mintak maaf kak, salah silap. Harap semua akhowat beri ana peluang untuk belajar lagi. Banyak sangat kesilapan ana ni," teringat coretanku di tetingkap Whatsapp dahulu kepada seorang akak yang sangat aku hormati, Kak Hanifah.
"Kenapa mintak maaf? Akhowat takde cakap apa-apa pun. Awak tak silap pun jedda," balasnya penuh dengan emoji senyuman.
"Ana rasa ana tak beri yang terbaik. Zahir batin,"
"Jedda. Masih ada masa untuk beri yang terbaik dari segi batinnya. Dan dari segi zahir dan batinnya, Allah je yang layak menilai awak dah bagi yang terbaik ke tak. Yang penting, kita always look forward and positive," pujuknya dengan hikmah.
Alhamdulillah seminggu yang lalu, IOS '16 telah berlangsung dengan jayanya. Seronok rasanya dapat buat orang seronok.
"Alhamdulillah kak," hanya itu yang mampu aku balas. Rasa terharu. Sebab masih ada insan-insan yang Tuhan hantarkan untuk membuat diri ini rasa dihargai. Memberi diri ini harapan untuk terus mendaki ke puncak sana.
Maha Baik Tuhan kita.
# Salamun, Salam Media! :: Of Ikhwah & Akhowat ::
"" Dan tidakkah engkau (Muhammad) berada dalam suatu urusan, dan tidak membaca suatu ayat Al-Quran serta tidak pula kamu melakukan suatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atasmu ketika kamu melakukannya. Tidak lengah sedikit pun dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarrah, baik di bumi ataupun di langit. Tidak ada sesuatu yang lebih kecil dan yang lebih besar daripada itu, melainkan semua tercatat dalam Kitab yang nyata (Luh Mahfuz)," Surah Yunus, ayat 61,"
Ukhti itu mengangkat pandangan menatap wajah-wajah dihadapannya usai membacakan sepotong ayat dari mushaf yang dipegang. Masing-masing menanti huraian yang bakal dikongsi. Bulatan kecil pada hari itu melibatkan lima orang akhowat semuanya. Kak Hana yang ditaklif untuk memberi iftitah, Kak Tiqah, Kak Fa, Kak Izzah, dan aku. Terasa menguncup sangat, bersama gerangan yang hebat-hebat.
"Ana suka sangat ayat ni sebab ia mengingatkan ana yang sekecil-kecil perkara itu Allah akan catat di Luh Mahfuz. Kita bekerja dalam media ni, kita cuma berada di sebalik tabir. Orang tak nampak apa kita buat. Orang tak nampak kita berjaga malam untuk buat video, untuk buat poster. Orang tak tahu kita yang menulis status untuk page tu. Orang takkan berterima kasih pada kita pun. Cukuplah Allah sahaja yang menilai kita untuk semuanya. Kadang-kadang bila kita handle page FB, kita diuji dengan 'like', 'views', yang Allah tak pandang pun semua tu. Kita kena belajar betul-betul ikhlaskan niat kerana Allah," hurai Kak Hana panjang lebar. Aku tersentap. Masuk sangat dalam hati.
"Jadi sama-samalah kita menggunakan keupayaan kita ini untuk menyentuh hati-hati manusia, dalam masa yang sama melatih hati kita untuk ikhlas juga dalam beramal ni, insyaAllah," sambungnya sebagai menutup agenda iftitah. Jiwa-jiwa tertunduk membiarkan diri dimuhasabah.
Meeting kemudian berlangsung selama hampir satu jam. Ahli-ahli baru Salam Media diberikan penerangan ringkas tentang organisasi dan gerak kerja dari side akhowat.
"Dalam masa terdekat ni insyaAllah akan ada meeting dengan ikhwah. Kita akan muhasabah sesi lepas punya strategic planning," ujar Kak Atiqah, mas'ulah yang lama. Semua mengambil perhatian.
*********
"Kak, ana tak cam Darul Fitrah ni kat mana," aku menghubungi Kak Atiqah sambil tergesa-gesa berjalan menuju ke kawasan Athar Irbid. Aku mempercepatkan langkah, menyelit di celah-celah lelaki-lelaki arab yang memenuhi laluan pejalan kaki di hadapan kedai-kedai. Bila tiba waktu malam di sini, memang susah mahu melihat wanita Arab berjalan melainkan bersama mahram mereka. Kerana itu wujudnya sistem murokib yang dikuatkuasakan oleh persatuan di sini. Aku yang malas mahu meminta syabab untuk murokib semalam, kemudian menggelabah apabila terserempak sekumpulan syabab di hadapan ATM. Biasanya akhowat yang berjalan tanpa murokib melebihi waktu qarar yang ditetapkan oleh persatuan, pasti akan dipandang 'slek'. Ah, tak ada masa lah. Dah lambat.
Sampai ke bangunan yang dituju, aku mendaki anak tangga. Buat pertama kalinya aku menapak ke markaz yang sebenarnya adalah rumah ikhwah itu. Sebaik sahaja aku masuk, aku nampak beberapa orang akak-akak yang sudah sampai, dan aku nampak penghadang.
'Wahhhh,' teruja sangat aku dalam hati.
'Ada penghadang,' keterujaanku masih belum hilang.
Pernah sahaja aku dengar perihal meeting ikhwah akhowat yang dipisahkan dengan tabir dan sebagainya, tapi mengalaminya sendiri buat pertama kali buat aku cukup teruja. Rasa malu menerpa ruang hatiku. Malu kenapa? Malu tiba-tiba memikirkan begini rupanya cara sebenar menjaga adab antara lelaki dan perempuan. Ini rupanya 'bercakap di sebalik tabir' yang sering diperkatakan. Segan sendiri memikirkan betapa selama ini aku ni terlalu selamba nak bergurau dan berbual dengan berlawanan jantina.
Aku pernah dengar cerita tentang pensyarah di Universiti Yarmouk ini yang memberi pesanan di dalam kelasnya. Kata sheikh itu, adab bertamu di rumah orang, perlu dipisahkan tempat berkumpul kaum lelaki dan perempuan. Supaya jika ada suami isteri yang datang bertamu, si isteri tidak akan mengagumi suami kepada wanita tuan rumah, ataiupun si suami yang datang bertamu itu tidak ada ruang untuk mengagumi isteri kepada lelaki yang tuan rumah itu.
Sehingga begitu sekali sebenarnya islam menjaga adab selagi boleh.
Menarik sangat memerhatikan cara perbincangan antara ikhwah dan akak-akak akhowat. Professional sangat. Dan penghadang yang berada di tengah-tengah itu cukup sangat untuk meng'cover' segala gelak tawa terkekeh-kekeh kami yang muncul kadangkala. Aku rasa banyak belajar tentang teknik komunikasi dalam meeting tu. Berbeza sangat dengan meeting-meeting persatuan atau program lain yang pernah disertai. Aku kagum juga kerana tarbiyah begini tidak pun menjadikan mereka orang-orang yang awkward atau jumud bila berdepan dengan realiti sebenar masyarakat . Mereka masih hebat dalam skill berkomunikasi sesama berlawanan jantina apabila keluar dari 'lingkungan tarbiyah' ini.
Mantap.
Teringat Mak Cik Zarisyah bercerita di IOS tempoh hari, aku kurang ingat slot apa, tapi berkenaan komunikasi antara ikhwah dan akhowat. Mak cik bercerita tentang seorang ikhwah (kurang pasti siapa sebab sibuk handle PA sistem di belakang jadi tak dapat tumpukan perhatian sangat). Tapi aku masih ingat jelas ayat ini:
"Mula-mula saya tak tahu pun dia tu ikhwah. Lepas dah lama-lama, bila saya tahu dia tu ikhwah, barulah saya macam 'Oh, dia tu ikhwah rupanya,'. Bila dah tahu dia ikhwah, barulah saya faham, kenapa dia adalah dirinya. Kerana dia seorang da'ie,"
Rupanya tarbiyah sememangnya perlu memantulkan peribadi kita. Apa bezanya kita mengikuti tarbiyah dengan tidak, jika kita sekurang-kurangnya kalah apabila RA menilai melalui first impression ? Dai'e itu seperti rama-rama. Tanpa suara atau bunyi, dia bisa membuat manusia tertarik dengan kecantikan yang ada pada dirinya; kecantikan Islam itu sendiri.
Wallahu'alam.
Lega rasanya dapat menulis.
Baru nak ambil mood semester baru, Moga lebih juhud lagi. Bittaufiq!
Wassalam. Musirrah.
2 comments:
bukan makcik zarisyah, jedda :)
tapi makcik melur ^^
Yeke hehee ana keliru dah, tak igt slot siapa haha. jzkk akak :)
Post a Comment