Tuhanku, yang aku cintai.
Aku datang kembali setelah lama menyepi. Maafkan aku tubuhku terlalu lemah untuk bangun bertemuMu di sepertiga malam, dek ubatan yang menjalar di setiap sarafku, menjalankan tugasnya terhadap biologi insani. Banyak yang ingin aku cerita dan adukan. Hanya senya aku kehilangan kata-kata dan keupayaan berbicara, namun bukan rasa cinta.
Tuhanku,
Terima kasih sudah mengasihiku tanpa henti. Menuntunku menjalani April dan Mei dengan keimanan dan ketaqwaan sedaya mampu. Ada hari-hari yang menyesakkan dada, aku sangat rindu untuk bertemu Engkau. Teresak-esak aku ya Allah merembeskan air mata, memproses fikiran dan rasa, dihujung katil tak lagi aku mampu berdiri. Hanya dalam perbaringan, selagi masih ada nafas.
Tuhanku yang Maha Pemurah,
Masih aku disini menyedut udara milikMu, membawa kereta yang Engkau pinjamkan, pulang ke rumahku yang tenang dan damai; hadiah dariMu, rebah dalam dakapan insan-insan yang penuh kasih dan cinta; manifestasi dan bukti kukuh kasih sayangMu yang tidak berpenghujung.
Aku mencintaiMu ya Allah, lebih dari diriku sendiri. Lebih dari ibu dan ayahku, yang tak dapat mindaku mengerti taraf cintanya di dunia, mengingatkanku pada besarnya kasih sayangMu. Satu peratus yang Engkau pinjamkan sehingga terasa bahagia aku di samping keluarga, walau sakitku memakan fikiran dan jasad yang lemah. Aku mencintai NabiMu, yang telah berlelah payah untukku dan ummat sejagat. Membawa syiar Islam dari titik terendah, bersaksikan air mata dan darah. Sampaikan salam aku kepada kekasihMu ya Allah. Aku cuba yang terbaik untuk menyambung perjuangan ini, walaupun jauh dari sempurna.
Tuhanku yang Maha Pengampun,
Aku takut kehidupanku berakhir dengan kemaksiatan terhadapMu. Aku sangat takut ditimpa azabMu, kerana azab bermakna Engkau marah kepadaku sedangkan Engkau Tuhan yang Maha Pengampun dan Pengasih. Celakalah aku jika bertuhankan Tuhan sebaik Engkau malah masih mati dalam kekufuran dan diazab di akhirat. Aku berlindung denganMu ya Allah, dari syaitan yang direjam dan dilaknat. Aku berlindung dengan asma'Mu ya Allah, daripada kemarahanMu dan azabMu yang tak tertanggung. Aku berlindung denganMu ya Allah, daripada kejahatan diriku sendiri. Ampunilah dan padamlah ya Allah, setiap zarah dosa yang telah aku zalimi diri sendiri.
Tuhanku yang Maha Suci dan Sempurna,
Maafkan aku malu meminta, padahal ia adalah hal yang paling Engkau suka. Maafkan aku sudah berhenti sejenak tenggelam dalam kekeliruan fikrah, apakah sudah tiba masa meredhai dan melepaskan impian, ataupun masih perlu menggenggam dan mengharap.
Ya Allah, di hari Arafah ini penyaksianku; Aku hanya mengharapkan keredhaanMu ya Allah dalam setiap hela nafasku. Sesak hatiku dengan sandiwara dunia, bahkan Engkaulah Tuhan tempat aku kembali dan mengadu. Takkan aku undur satu saat pun di masa silamku, kerana aku gembira dengan rasa kehambaan dan hubungan ketuhanan yang telah Engkau hadiahkan.
Ya Allah, dengan asma'Mu dan segala keagunganMu aku memohon,
Rezekikanlah aku cinta dari seorang suami yang Qawwam. Yang sekufu, menyayangi dan mencintai aku kerana cintanya dia kepada Rabbnya. Suami yang mampu menafkahi aku zahir dan batin, menyentuh aku atas dasar ibadah dan ketaatan terhadapMu, menginginkan aku selayaknya aku seorang isteri. Yang lemah lembut terhadapku dalam memuji yang elok dan menegur yang kurang. Lelaki yang keluarganya pengasih seperti keluargaku, agar dapat kami bersilaturrahim kerana Engkau. Dia memahami tanggungjawab dakwahku dan membantu aku mendukungnya. Dia memimpin rumahtangga dengan ketenangan dan tidak memalapkan cahaya jiwaku. Kehadirannya menjadikan aku semakin cintakan ibadah dan amal soleh, selayaknya dia menjadi seorang ayah kepada anak-anakku kelak. Dia menjadikan Al-Quran sebagai tunggak pimpinan dan solat sebagai kekuatan.
Rezekikanlah aku, ya Allah, kesabaran seluas Zakariyya menunggu anaknya Yahya, keredhaan sekuat Yaaqub merintih dan merindu Yusuf, dalam percintaan dan maratib amal kedua, membina keluarga Muslim yang Engkau redhai. Rezekikanlah aku, ya Allah, kekuatan dakwah sehebat Nuh dan Ibrahim serta para anbiya' lainnya, cintakan taubat seperti Yunus tika kecewa.
Rahmatilah sisa kehidupanku ya Allah.
Hidupkanlah aku dalam iman jika kehidupan ini lebih baik buatku, dan matikanlah aku dalam iman jika kematian lebih baik untukku.
Terimalah pengorbanan jiwa dan ragaku, serta ibadah korbanku. Ampunilah dosa kedua ibu dan bapaku, kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihi aku sewaktu kecilku. Rahmatilah kehidupan mereka, dan izinkanlah kami bertemu di syurga tanpa sebarang dendam dan benci yang tersisa. Ampunilah dosa kakak-kakakku dan abangku. Rahmatilah mereka di dunia dan akhirat, jagalah setiap langkah mereka menapak ke usia pertengahan, izinkan mereka merasai indahnya nikmat beribadah kepadaMu.
Ampunilah dosa sahabat-sahabatku yang menyokong jatuh bangunku selama ini, kurniakanlah aafiyah dalam keluarga kecil mereka dan luaskanlah rezeki mereka. Makbulkanlah doa mereka mengikut ilmuMu yang tidak berpenghujung.
Sayangi dan kasihilah anak-anak didikku ya Allah. Mereka masih kecil. Mereka tidak dibesarkan oleh ibu dan ayah yang memahami agama. Ampunilah keluarga-keluarga mereka, bimbinglah mereka menuju cahaya dan redhaMu. Rezekikanlah mereka nikmat iman dan Islam, serta ibadah yang ikhlas kepadaMu. Aku sangat kasih kepada anak-anak didikku ya Allah, dan aku sangat ingin mereka menjadi hambaMu yang setia dan bersyukur. Lembutkanlah hati-hati mereka agar menjaga solat, menutup aurat, dan memperbaiki bacaan Al-Quran seiring usia remaja mereka menuju dewasa kelak. Jagalah mereka ya Allah. Rezekikanlah mereka cintaMu yang tidak berpenghujung.
Terima kasih Tuhan, untuk hadiah Arafah yang mulia.
260526,
9 Zulhijjah 1447H
18:13PM
Kota Damansara.
No comments:
Post a Comment