Thursday, May 31, 2018

Episod Akhir #unpublishedDraft



"Kau lagi 40 hari lagi nak balik Malaysia, Jed," kata Paan pada aku.

"Wuish.. Aku pun tak countdown, kau countdown kan untuk aku," balas aku selepas terdiam sebentar. Yelah kami kan balik bersama nanti. Paan memang cakna perihal tarikh-tarikh ni.

Ya aku tahu masanya hampir tiba. Aku sudah di penghujung musim pertama. Kelakar kan. Aku selalu membayangkan kehidupan aku ibarat drama Melayu bersiri.

Seorang budak perempuan yang sejak kecil berbahagia sahaja dengan hidupnya bersama keluarganya. Abuyanya seorang ustaz buta yang mencari rezeki selama berpuluh tahun dengan menjadi tukang urut, semampunya untuk menafkahi isteri dan anak-anak. Umminya wanita teguh yang mualaf, melakukan hampir lebih separuh pengurusan rumah dan anak-anak, mengorbankan keluarga dan kekayaannya untuk bersama islam, sehingga akhirnya jadi perempuan terbuang.

Walaupun banyak compang-camping keluarganya itu, berontaknya, gegarannya, namun dia bahagia. Malah berbangga dengan abuya dan umminya. Bangga abuyanya si ustaz buta itu bahkan hafiz separuh Al-Quran, abuyanya si ustaz buta itu dikenali ramai. Sebut sahaja nama abuyanya pada pakcik restoran, tukang kasut, abang petrol pam, polis-polis di Kajang, semua mengenali abuyanya. Si buta bertongkat hitam putih yang sering berjalan sendirian di tengah bandar, boleh bercakap hampir semua loghat, menghafal seluruh selok-belok bandar, dan secara rawak suka menyebut-nyebut tentang Tuhan kepada siapa pun yang ditemuinya. Orang islam, orang kristian, orang budha, orang hindu. Semua mengenali sosok itu yang suka mengungkapkan "Allah bantu, Allah bantu,". Barangkali si buta itu orang tarekat sufi.

Begitu hebat jua umminya si mualaf itu, pada pandangan si anaknya, aku. Meski jadi wanita terbuang, dia mengutip dirinya sendiri, meski didengki oleh ramai orang ke mana sahaja dia pergi. Dia berkerja, dia sambung belajar, pasti ada yang memusuhinya. Sejak aku belum lahir, dihina-hina orang bila dia menemani suaminya menjual air di tepi jalan. Kadangkala menjual donut di bazar Ramadhan, kemudian gerai dimusnahkan oleh orang jahat. Oh malang sungguh nasibnya. Sudah berpuluh tahun bersama islam juga masih belum bisa lancar bacaan Al-Quran. Kekayaan yang dia tinggalkan dahulu belum kunjung berganti.

Di sini konflik drama aku bermula.

 Aku budak perempuan tadi. Aku masih ingat impian itu. Impian sewaktu usia 17 tahun, aku mahu melakukan yang terbaik dalam SPM, dan ingin ummi abuya datang sewaktu hari keputusan peperiksaan diumumkan, ya seperti kawan-kawannya yang lain. Sekurang-kurangnya SPM, setelah tamatnya persekolahanku. Kerana mereka tak pernah datang pada hari UPSR ku, atau PMR ku. Tidak pernah berdua, maksudku.

Ah, rupanya hal-hal begitu sangat penting untuk seorang anak. Keberadaan kedua orang tuanya pada hari pentingnya. Walaupun mungkin sekadar untuk mengambil report card tadika. Betapa pentingnya perkara tersebut bagi seorang anak !

Tamat sahaja peperiksaan SPM, seminggu setelah itu abangku menikah. Di sini bermula mimpi ngeri aku. Ternyata aku terlalu dikaburi impian kanak-kanakku, sehingga tidak melihat apa keluargaku selama ini sudah ibarat retak menanti belah. Keluarga yang aku banggakan. Abuya dan ummi yang aku sanjungi, ternyata licik penipuan dan lakonannya sehingga aku terbohongkan ! Ah. Ibu dan ayah memang adalah pelakon paling handalan di dunia ini.

Hancur pecah berderai harapan dan impian seorang anak, yang baru sahaja hendak memulakan perjalanannya menuju dewasa. Yang baru sahaja menempuhi fasa peralihan. Mindanya, fikirannya, agamanya, prinsipnya, bagai dihenyak lumat.

And the rest is history.


Draft: 12/5/2017
Published: 31/5/2018



No comments:

Hidup ini adalah keyakinan dan PERJUANGAN.. dan PERJUANGAN mukmin yg sejati tidak akan berhenti kecuali kedua tapak kakinya, TELAH MENGINJAK KE PINTU SYURGA...

-Imam Ahmad ibn Hanbal-