Thursday, January 26, 2017

Aku fikir bila aku bersendiri, segala selirat dalam kepala selama ini akan bisa aku lerai dan bisa kumuntahkan segalanya melalui tulisan, biar lega, biar terhasil satu karya yang sejak kurun lamanya berlegar di ruang angan. Karya aneh yang aku bisa buang ke laut dalam, agar ia ditemui orang-orang lemas di dalam sana. Kerana seseorang perlu memberitahu mereka bahwa telah ada kaum mereka yang berjaya pulang ke daratan dengan izin Tuhan. Seseorang perlu menyampaikan khabar bahawa daratan itu wujud, dan laut dalam itu bukan tempat kita. Namun yang paling aku takuti adalah jariku yang menari tanpa arah tuju. Jari yang masih belum mampu melerai selirat ini agar ia menjadi bukan lagi angan si gila. Jari yang menulis dan padam, hingga matahari dan bulan juga bosan melihat kanvas itu masih kosong tiada nyawa. Membawa manusia menuju Tuhan dalam keadaan sang pembawa juga meninggalkanNya. Apa katamu? Ada yang masih belum selesai. Boleh jadi kau masih di entah pulau mana, belum lagi di sebenar daratan.



Tersadai.

3:12 am
Trondheim Lufthavn Værnes
Sør-Trøndelag, Norway.

Sunday, January 1, 2017

Aku cuba


Aku cuba. 
Menapak ke langit yang diimpi.
Aku cuba bersedia
Untuk kehidupan yang lebih baik. 
Memberi diri aku ruang
Untuk melangkah lebih jauh. 
Memberi hati aku peluang
Untuk kembali mempercayai. 

Hanya sahaja aku khabarkan
Supaya kau simpan dalam ingatan
Bahawa semua ini tak senang
Untuk perempuan yang pernah kemalangan. 
Tak singkat masa
Untuk patah-riuk jadi elok. 

Tapi aku cuba
Untuk sekali lagi. 
Siapa tahu hanya tinggal sehasta. 
Untuk sampai kepada cita
Yang diburu sepanjang usia. 

11.25am
010117
Irbid, Jordan.

 
Hidup ini adalah keyakinan dan PERJUANGAN.. dan PERJUANGAN mukmin yg sejati tidak akan berhenti kecuali kedua tapak kakinya, TELAH MENGINJAK KE PINTU SYURGA...

-Imam Ahmad ibn Hanbal-