Friday, September 4, 2015

Bismillahirrahmanirrahim


Segala puji kepada Allah, Tuhan sekalian alam.

Semester ini berlalu begitu pantas. Tak ku sedar hari-hari kian berlalu pergi bagaikan debu-debu yang berterbangan, membawa jauh segala sejarah. Sehingga akhirnya, hanya tiga minggu tersisa untuk langit Darul Makmur ini memayungi hari-hariku sebagai seorang pelajar Syariah di sini.

Pelajar Syariah. Pelajar jurusan agama.

Kau tahu? Dua tahun itu tidak lama. Kau akan dapati tiba-tiba sahaja pengajianmu di Jordan pula telah meniti hari-hari terakhirnya. Ah, belum pergi sahaja aku sudah mula rindu. Bumi Syam itu pernah menampung derapan kaki sang Rasul suatu ketika dahulu, mengharungi pahit maung dakwahnya. Moga barakah tanah itu bakal buat hatiku lebih kental dan teguh menghadapi dunia.

Dua tahun. Apa yang ku hadapi selama dua tahun ini, kini mampu membuatkan aku tertawa sendirian, mengenang segala kejahilan yang pernah menghurung jiwa. Ia sangat menyakitkan. Parutnya masih berbekas dijiwa. Pedihnya hingga kini masih berbisa. Namun dengan kekuatan dari sahabat-sahabat yang mengajarku cinta Al-Khaliq, aku memilih memaafkan mereka semua. Kerana kehalusan firman pujukan Tuhan itu tak mampu untuk egoku menafikannya.



"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, 
dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, 
yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; 
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, 
dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. 
Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara kebaikan,"

[3:133-134]


Kemudian aku akan tersenyum mengenangkan kasih sayang Tuhan. Kadang-kadang janjiku pada diri sendiri untuk tidak menangis lagi, aku mungkiri. Aku masih seorang anak, dan perempuan yang punya perasaan. Namun ku biar semuanya berlalu pergi. Hati yang dihancurkan pengharapan pada dunia itu aku serahkan padaNya dalam perlarian. Sedikit demi sedikit kasih sayangNya merawatku bagaikan anak kecil. Memberiku nikmat menangis dan mengadu tanpa segan silu dihadapanNya, yang telah lama aku tidak rasa. Menemui cahaya Tuhan adalah kebahagiaan yang paling indah.

Tak ku pinta sesiapa membaca coretanku, aku sendiri bosan menelaahnya. Namun kerna aku masih tak mampu berhenti bercerita betapa gembiranya hati ini diselamatkan Tuhan dalam dekapanNya.

Aku takkan jemu. Aku takkan jemu mengirim doa-doa cinta buat mereka yang teguh menggenggam tanganku ini sehingga aku mampu bangkit dan berdiri seperti sekarang. Semoga Allah merahmati mereka pada setiap detik kehidupan. Demi Tuhan, bersaksilah bahawa pendosa ini telah benci untuk kembali kepada kekufuran.

Kuantan
180515



"Keperitan itu temanmu yang sejatiii, dihujungnya bahgia menanti,~" irama lagu Delusi Ummi yang menjadi nada dering telefonku itu berkumandang buat kali kedua, Terkocoh-kocoh aku mendapatkan telefon di sebelah peti ais itu. Dengan sebelah tangan kanan memegang pisau pemotong daging yang hendak dibasuh, ku sambut panggilan dengan tangan kiri. Risau terlepas panggilan buat kali kedua. Aku tidak punya kredit untuk call semula.

"Haii Assalamualaikumm," riang suaraku menyambut.

"Waalaikumussalam. Tengah buat apa tuu," ujar suara dihujung talian. Aku senang sekali mendengar suaranya.

"Tengah masak ni. Kenapa awak?"

"Nak bagi barang sikit ni,"

"Eh, dah kat depan rumah dah ke?" aku sedikit menggelabah. Pisau ku tinggalkan di dalam sinki, aku beralih ke dapur memasak untuk menggaul ayam masak merah yang sedang mendidih.

"Ye sayangg,"

"Kejap eh kejap,"

Ku tinggalkan sahaja ayam masak merah di dalam kuali setelah memadamkan api. Kemudian tudung sarung berwarna hijau aku sambar dari birai katil. Aku menyeluk beg galasku mencari kunci rumahku. Jam menujukkan pukul 6.45 petang.

"Eh kat atas dah, ingat kat bawah lagi," aku sedikit terkejut melihat dia duduk di tangga menghadap pintu rumahku sebaik sahaja aku membuka pintu. Secebis kain yang biasa menutupi wajahnya sudah dibuka. Bangunan tiga tingkat ini hanya didiami oleh aku dan ahli rumahku ditingkat kedua. Tingkat satu dan tiga masih kosong. Aku sangat sukakan rumah ini kerana bagiku ia sangat strategik. Ia sebaris dengan Pusat Komuniti PERMAI (PUSKOM) tempat bergiatnya aktiviti-aktiviti persatuan. Ia juga berdekatan dengan pintu masuk Jamiah yang terus menghala ke Kuliyyah Syariah, tempat kami bakal memulakan semula pengajian genap 27 September ini. Kedai runcit, kedai-kedai makan dan kedai roti yang sedap-sedap juga banyak di sekeliling kawasan rumahku ini; orang menggelar kawasan ini Hijazi.

Irbid, Bandar yang agak sesak juga. Kalau Amman macam Kuala Lumpur, mungkin Irbid macam Kajang? Kelakar. Seminggu berada di rantau orang ini kami masih belum berjaya untuk tidak membandingkan setiap sesuatu dengan Malaysia.

"Berapa weh biskut ni?" 
"Dia tulis sini 40 qursy,"
"0.40 darab RM6.... *congak2*"

"Kau tengok tak orang arab tu gaduh tadi ketuk-ketuk teksi? Jam jalan weh,"
"Tu la takut jugak aku, kalau kat Malaysia berlanggar pun takde sampai macam ni,"

"Kat sini memang takde cicak macam kat Malaysia ea?,"
"Err tak pernah nampak pulak,"
"Sebab takde tahi cicak pun kat tepi-tepi dinding. Bestnya,"

Adatlah pelajar baru sampai kan. Aku rasa sayang hanya dua tahun di sini. Kalau diizinkan Allah, aku mahu duduk lebih lama di sini mengumpul ilmu dan pengalaman.

"Nah, hadiah," dia menghulurkan sesuatu kepadaku. Bunga. Setangkai bunga yang dibalut kemas. Aku ketawa kecil dalam keterujaan. Bunga pemberiannya ku sambut mesra. Aku kurang pasti bunga apa. Berwarna ungu. Cantik.

"Serius la? Bunga betul?" ku dekatkan kelopak-kelopak bunga itu ke hidung untuk ku cium baunya. Wahh macam dalam filem rasanya.

"Bunga betul tu, nanti kena letak dlm air," ujarnya prihatin. Aku tersenyum.

"Terima kasih," ucapku penuh makna.

Kali pertama dalam hidup ini, aku dapat bunga.

Aku tersentak. Lamunanku terbang bagaikan sekawan merpati yang berterbangan cemas ketika disergah. Peristiwa kelmarin sehingga petang tadi bermain di fikiranku.

"Esok dah genap setahun. Moga Allah merahmati mereka," ku coret di tetingkap WhatsApp kepada seorang lagi sahabat fillah. Kurang pasti perasaan apakah yang menderu di dalam hati ini.

"Semuanya aturan Allah yang akhirnya meletakkan kita di mana kita sekarang.. Alhamdulillah," balasnya setelah ku lihat 'typing' agak lama. Mungkin mencari kata-kata. Aku tersenyum. Ya, kini sudah mampu tersenyum.

"Alhamdulillah," balasku.


"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, 
dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, 
yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; 
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, 
dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. 
Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara kebaikan,"

[3:133-134]



Saksikanlah ya Allah, bahawa aku telah benar-benar redha.

Irbid
1.21am
040915














No comments:

Hidup ini adalah keyakinan dan PERJUANGAN.. dan PERJUANGAN mukmin yg sejati tidak akan berhenti kecuali kedua tapak kakinya, TELAH MENGINJAK KE PINTU SYURGA...

-Imam Ahmad ibn Hanbal-