Sunday, March 22, 2026

Ramadan yang penuh cinta

Aku telah berdoa dan Tuhanku telah pun menjawabnya. Walau bukan dengan kisah yang aku harapkan, bahkan lebih baik lagi dengan kasih sayangNya yang tak berpenghujung. Aku dibuang oleh manusia tetapi Tuhan masih meletakkan aku di tempat tertinggi di sisiNya- merendahkan diriku dalam sujud, tasbih dan tahmid. 

Tuhanku mengizinkan aku untuk redha pada tamparan pertama. 
Dia memberikan; الصَّبْرُ عِنْدَ الصَّدْمَةِ الأُولَى, seperti yang aku rayu.

Sakit dan perih sekali tatkala aku menceritakan lukaku, walaupun bukan harapanku untuk dirawat setidaknya ada yang melihat dan bersimpati, bahkan manusia mencederakanku di tempat yang sama.

They know exactly where you are hurting, and they hit you on the exact same spot. 
But Alhamdulillah for everything that doesn't work out.


Allah memegang hati aku melalui takdirNya yang telah disusun, dari malam kelmarin, tiga bulan penantian, enam bulan keberanianku yang bercampur kekhilafan, sejak Ramadan tahun lalu. Allah memegang aku tanpa lepas, memastikan aku selamat dan sedia untuk segala kemungkinan. 

Allah telah bersabar dengan ketidaksabaranku saban tahun, dan tidak pernah menghukumku kerananya. 

Ramadan tahun ini penuh dengan cinta. Tuhan mengizinkan aku mengajak komuniti sekolah berkumpul membaca dan mendengar kalamNya lewat iftar jama'ie, lantas kita merebahkan diri bersujud bersama dalam satu saf. Bahkan mengajar anak-anak muridku ayat suci, dan memberi peluang salah seorang melaungkan azan di sekolah. Tuhan mengizinkan aku sujud di malam hari, menangis, mengadu dan bermanja. Tuhan mendatangkan peluang-peluang dakwah, kebaikan, dan sedekah, agar aku menjalankannya dengan ikhlas, sehingga aku merasakan bahwa Dia berkehendak menghapuskan sayyi'at ku dengan hasanat dariNya. 

Aku sangat mencintai Tuhanku, yang membuka jalan-jalan untuk aku ke syurga tatkala aku melalui lorong-lorong yang melemparkan diriku ke neraka. 
Aku sungguh mencintai Tuhanku, yang telah membiaskan sepenuh cintaNya di sekeliling aku.
Dari wajah ummi dan abuyaku, kakak-kakak dan abangku, sahabat-sahabatku, makcikku, para akhawat, rakan-rakan sekerja, ketuaku, anak-anak muridku. Dari setiap sudut rumahku yang selesa, dan kenderaanku yang tidak pernah bermasalah, dari iman, islam dan ihsan yang Engkau berikan.

Aku mencintaiMu ya Allah, yang telah memberikan aku aafiyah.

Hanya yang tiada adalah wajah seorang suami dan anak-anak, serta kehendakku untuk bermaksiat. Inilah ujian terbesar dan kejahatan dunia yang sangat aku takuti, dan aku tahu aku tak akan memahami penantian ini sampai bila-bila.

Saksikanlah ya Allah, bahawa aku redha. Aku melepaskan harapanku. Aku tiada sesiapa kecuali Engkau yang tidak pernah menghukumku. Aku akan terus berdoa dan memupuk cinta kepadaMu, tetapi aku faham aku tiada hak untuk menuntut apa-apa hal pun menurut kehendakku.

Seluruh yang ada di langit dan bumi adalah milikMu ya Allah. 
Dan aku redha Engkau sebagai Tuhanku. 
Terima kasih ya Allah untuk segala kegembiraan mahupun kesakitan. 




1143PM
220326
Dengkil



No comments:

Hidup ini adalah keyakinan dan PERJUANGAN.. dan PERJUANGAN mukmin yg sejati tidak akan berhenti kecuali kedua tapak kakinya, TELAH MENGINJAK KE PINTU SYURGA...

-Imam Ahmad ibn Hanbal-