Wednesday, April 7, 2010

Yang Diperlukan...

Bismillahirrahmanirrahim..

Di satu malam yang sunyi, hujan turun renyai-renyai. Seorang wanita berjalan dalam samar kegelapan cahaya lampu jalan. Langkah diatur menuju ke bawah jambatan. Saat itu, alam menjadi saksi satu kelahiran. Kelahiran seorang bayi suci, namun disambut tanpa azan. Kelahirannya hanya disambut dengan tangisan dan raungan penyesalan si ibu terhadap takdir Tuhan.

Malam itu juga, alam menjadi saksi satu kekejaman. Wanita itu, berlalu pergi tanpa membawa bersama si kecil amanah Tuhan. Ditinggalkan disitu setelah plastik menjadi tutupan. Telinganya ditekup daripada mendengar tangisan bayi itu. Naluri ibunya meronta, namun si Laknatullah lebih meraja. Semakin jauh kakinya melangkah, semakin sayup tangisan.

‘Maafkan ibu. Bukan niat ibu membuatmu begini,’

Si kecil yang ditinggalkan, mengadu pada Tuhan. Mengapa ibu begini? Malam itu dalam kesejukan, dia menggigil seorang diri. Meraung tanpa suara dibawah jambatan, ditemani simpati beberapa makhluk Tuhan. Saluran nafasnya yang dihalang semakin tersekat. Hujan semakin lebat. Dan malam itu, alam menjadi saksi satu pembunuhan.

Tubuh kecil itu menjadi biru. Saat mentari pagi mula menyinari bumi Tuhan, datanglah beberapa gagak hitam yang kelaparan mencari sesuap makanan. Sudah lumrah, makanannya bangkai. Rezeki yang ada tidak disia-siakan. Jasad si bayi dilahap bagai harimau meratah mangsa. Lalu terlihatlah oleh beberapa manusia. Maka segalanya gempar.

Jasad si bayi dikebumikan oleh insan-insan yang masih punya perasaan. Terbenam ke dalam bumi Tuhan, bersama kenangan malam pertama dan terakhirnya di dunia.

Semakin hari, semakin ramai yang senasib dengannya. Lalu muncullah insan-insan hipokrit yang kononnya ingin membela, sebaliknya hanya mencari pengaruh dan nama. Hanya ingin disanjung-sanjung dan dikatakan mengambil berat. Semuanya punya agenda tersendiri.

Si bayi termenung. Melihat segala-galanya dari atas. Bermacam perangai masyarakat diperhatikan. Oh Tuhan.. Aneh sungguh hamba-hambaMu dibawah sana.
Yang diperlukan bukanlah 1001 kempen, tapi cukuplah secebis pengisian jiwa.
Yang diperlukan untuk mengubah masyarakat bukanlah 1001 akta-akta manusia, tapi cukuplah hudud yang Kau sediakan.
Yang diperlukan untuk mengubah dunia bukanlah Hari____Sedunia, tapi cukuplah kecintaan dan ketakwaan kepadaMu!
Tapi mengapa mereka sombong kepadaMu, Tuhan? Seolah dunia ini mereka yang punya.
Aneh. Aneh sekali.

Si bayi di atas, bersujud kepada Tuhan. Syukur yang teramat, kerana terlepas dari ujian cinta dunia dan takut mati. Syukur yang teramat kerana sudah pasti dijanjikan syurga. Doa dipanjat, moga ibunya sempat bertaubat.
Semetara ibunya dibawah, masih dalam kegelapan…


Sabda Rasulullah S.A.W:
" Akan datang suatu masa dalam waktu dekat, bangsa-bangsa ( selain umat Islam ) bersatu akan mengalahkan kamu seumpama sekumpulan manusia berkerumun berebut-rebut akan hidangan makanan di sekitar mereka.
Sahabat bertanya : " Wahai Rasulullah!, apakah kerana sedikitnya umat Islam pada waktu itu?”
Rasulullah menjawab : " Bukan, bahkan kamu pada waktu itu adalah golongan teramai, tetapi kamu pada waktu itu bagaikan buih-buih di lautan. Allah telah mencabut dari hati musuhmu perasaan takut kepada kamu dan Allah mencampakkan perasaan 'wahn' ke dalam hati kamu.”
Sahabat bertanya : " Wahai Rasulullah!, apa yang di maksudkan 'wahn' itu?”
Rasulullah s.a.w. menjawab : " Cinta dunia dan takut mati. "


till then, wassalam
Musirrah



.

No comments:

Hidup ini adalah keyakinan dan PERJUANGAN.. dan PERJUANGAN mukmin yg sejati tidak akan berhenti kecuali kedua tapak kakinya, TELAH MENGINJAK KE PINTU SYURGA...

-Imam Ahmad ibn Hanbal-