Sunday, August 14, 2011

Bicara Kata


Bismillahirrahmanirrahim..

Sebuah Kisah Pelantikan Calon Badan Kepimpinan SMKA Maahad Hamidiah 2012

 
“Ha siapkan kertas tu dulu, lepas ni nak bagi soalan lain pulak. Kesian awak nanti tak ada kerja rumah,” laung Cikgu Aida pada anak-anak didiknya. Senyuman mahal penuh maknanya sungguh tak boleh diganti oleh mana-mana guru. Para pelajar ketawa kecil, sudah lali dengan gurauannya.

Ana menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Punat kalkulator rasanya sudah beribu kali ditekan, dijolok dan sebagainya. Masih juga alat teknologi itu enggan memberikan jawapan soalan Matematik Tambahan yang sedang ana usahakan. Urgh, geramnya. Akhirnya ana sembamkan kepala ke meja.

“Nombor lima macam mana?” ana dengar suara Aieshah. Bertanya pada Syafiqah barangkali. Lajunya dia buat, ana masih berperang dengan soalan nombor dua.  Ana mengangkat kepala melihat segenap sudut  4 Ibnu Sina. Cikgu Aida sedang meninjau pelajar-pelajarnya. Semua sedang bermain-main manja dengan kalkulator dan buku Matematik Tambahan masing-masing.  Pandangan ana beralih kepada kalkulator dan buku ana di atas meja.

“Apesal la kau orang  tak pernah nak baik dengan aku,” Jari telunjuk ana menuding-nuding kalkulator sambil mengetap bibir.

“HARAP MAAF KEPADA SEMUA GURU DAN PARA PELAJAR. DI SINI ADA SATU PENGUMUMAN. PERHATIAN KEPADA SEMUA CALON BADAN KEPIMPINAN 2012, ANDA SEMUA DIMINTA TURUN KE MASJID SEKARANG. DIULANGI, PERHATIAN KEPADA CALON BADAN KEPIMPINAN 2012, ANDA SEMUA DIMINTA TURUN KE MASJID SEKARANG. SILA BERGERAK PANTAS, TERIMA KASIH.”

Kedengaran pengumuman dari corong suara. Pelbagai reaksi diterima. Ada yang mengeluh kerana ingin menghabiskan kerja Matematik Tambahan. Ada yang suka seperti ana kerana boleh skip kelas subjek  itu. Setelah mendapat kebenaran Cikgu Aida, kami yang terlibat bergerak ke masjid bersama-sama. Tiba di masjid, ramai pelajar-pelajar sudah berada di dalam ruang solat lelaki, tempat berkumpul. Kami mengambil tempat mengikut pembahagian Cikgu Ezana yang kelihatan sibuk mengatur kedudukan pelajar.

“Nama yang saya panggil sila ke depan. Rasydan, Faiz Azrai, Haziq Hakeem, Ridzwan Faiz, Amni Mufidah, Fatimah Ulfah, Tengku Nur Dahiyah, Nuratikah Nadrah,” jelas kedengaran suara Cikgu Ezana. Tegas. Mereka yang disebut namanya masing-masing bergerak ke barisan hadapan.

“Amir Ridwan?” tanya seorang pelajar yang memaklumi senarai nama tadi adalah bakal ketua segala organisasi. Hairan.

“Amir Ridwan tak. Ada jawatan lain untuk dia,” balas Cikgu Ezana acuh tak acuh. Kami pelajar puteri berpandangan sesama sendiri. Semua orang bagai boleh mengagak apa yang telah ditetapkan oleh barisan pentadbir. Ana mengeluh.

“Tak kan lah..” ana memandang Fairuz dalam-dalam. Fairuz memegang bahu ana.

“Kita tak ada kuasa. Cikgu tetapkan semuanya,” ucap sahabat ana itu. Merungkai sisi redha dalam dirinya agar tidak kecewa. Ana masih sangsi. Selagi cikgu tak kata apa-apa, selagi tu ana akan masih mengharap. Kita akan masih mengharap. Pelajar tingkatan empat akan masih mengharap.

Setelah semua yang terlibat selesai mengambil tempat, keadaan masjid menjadi sunyi beberapa ketika. Para pelajar berbisik sesama sendiri tentang nama-nama yang disebut cikgu tadi. Barisan pentadbir, guru-guru dan calon kepimpinan 2012; Pengawas Sekolah, Exco Asrama dan BADAR. Cikgu Ezana memulakan bicara.

“Mulai tahun hadapan, ketiga-tiga badan kepimpinan ini iaitu Pengawas, Exco dan BADAR akan bergabung menjadi satu organisasi yang sama. Pengawas adalah BADAR, BADAR adalah Exco, dan Exco adalah Pengawas. Organisasi yang sama, identiti berbeza. Dan mulai tahun hadapan juga BADAR akan memakai uniform yang sama seperti Exco dan Pengawas,” mukadimahnya sudah mula membuat suasana masjid riuh-rendah dengan suara para pelajar. Ana tergamam. Arghh, peach??? 

“Mereka yang berada di barisan hadapan ini adalah bakal ketua-ketua kamu. Haziq Hakeem adalah ketua pengawas. Amni Mufidah ialah penolong ketua pengawas. Ridzwan Faiz adalah ketua BADAR, yang tiba-tiba sahaja kami bersetuju untuk lantik semalam setelah melihat kelayakannya. Dan Nadrah adalah penolong ketua badar. Rasydan ketua pengawas asrama, dia janji dengan cikgu nak duduk asrama tahun depan. Tengku Dahiyah adalah penolong ketua pengawas asrama,”  sambung cikgu lagi. Para pelajar berpandangan sesama sendiri.

“Eh boleh pulak. Tak duduk asrama lagi dah jadi ketua pengawas asrama,”

“Islahuddin?” tanya seorang sahabatku. Kami semua hanya mampu melontarkan pandangan mata yang sukar ditafsirkan. Keputusan cikgu takkan pernah boleh dibangkang.

“Tiba-tiba lantik? Mesti fasal teguran dia tentang Quran berlumut tu kan?” kata sahabat yang lain.

“Tak kisah lah, janji batch kita, Form 4,” simpul ana. Agak bersyukur kerana bakal berada di bawah pimpinan rakan sendiri. Guru disiplin itu menyambung lagi.

“Fatimah Ulfah adalah penolong ketua umum… dan Faiz Azrai, adalah KETUA UMUM,” ayatnya tamat di situ. Pelajar tingkatan empat tunduk. Antara gembira dan tidak puas hati. Gembira kerana sekurang-kurangnya PKU adalah rakan kesayangan bersama. Tapi orang baru itu? Kenapa dia? Kenapa dia KU?
______________________________________________________________________________

Sejak tergolong dalam barisan kepimpinan ini, ana mula faham tugas orang-orang baju peach yang memang ana sangat anti suatu ketika dahulu. Sekarang juga, tapi kurang. Mungkin dulu terlalu banyak kisah pahit yang berlaku antara ana dan beberapa orang berbaju peach yang menyebabkan ana diskriminasi terhadap golongan penegak undang-undang sekolah itu. Entah. Rasa hendak tutup buku silam. Tahun depan bakal memakai uniform yang sama dengan mereka? Aduh. Tapi sekurang-kurangnya orang-orang tertentu itu sudah tiada lagi tahun 2012. Mungkin hubungan ana dengan golongan berbaju peach ini akan menjadi jernih semula.
Amni Mufidah tak terima tawaran itu. Penolong ketua pengawas sekarang ialah Aiesya Afreena.

KU baru. Tak ramai From 4 boleh terima. Yang agak berlapang dada cuma barisan kepimpinan yang faham kita tiada kuasa untuk mengubah apa-apa. Walaupun jujur ana kecewa. Kerana golongan baju hijau itu juga ada mencetuskan peristiwa kurang menyenangkan dalam hidup kami di Maahad. Namun menginjak dewasa membuat minda dan hati mula bersatu membina satu konklusi dan falsafah diri yang baru; kenapa kita perlu bengang dengan saudara sendiri? Kita tak cukup baik lagi untuk membenci orang lain..

 yang merah itu saga, yang kurik itu kendi. yang indah itu bahasa, yang baik budi perketi..


“Batch kita perlukan masa untuk terima dia. Mungkin,”
Welcome to Maahad, new KU.
Wassalam, Musirrah.





No comments:

Hidup ini adalah keyakinan dan PERJUANGAN.. dan PERJUANGAN mukmin yg sejati tidak akan berhenti kecuali kedua tapak kakinya, TELAH MENGINJAK KE PINTU SYURGA...

-Imam Ahmad ibn Hanbal-